MUHASABAH DARI KEPERIBADIAN RASULULLAH SAW


Rasulullah SAW semasa peperangan Khandaq, baginda telah mengarahkan para sahabat menggali parit. Ketika itu, makanan kaum muslimin di Madinah tidak banyak. Namun tiada yang marah Rasulullah SAW, tiada yang kata Rasulullah SAW diktator, tiada yang kata Rasulullah SAW zalim dek kerana mengarahkan kaum muslimin menggali parit saat waktu kekurangan makanan. 

Parit pula bukan parit kecil. Parit besar,hingga kuda tak mampu lompat menyeberang. Paritnya juga dalam. Bukan mudah nak gali kalau tak ada makanan yang cukup membekalkan tenaga. 

Namun kenapa para sahabat tidak merungut, tidak memaki Nabi, tidak troll Rasulullah SAW?

 1 - Ketika para sahabat Rasulullah SAW mengikat tubuh mereka dengan seketul batu, untuk halang angin masuk perut sebab sangat lapar, Rasulullah SAW telah mengikat diri baginda dengan dua ketul batu, menandakan Rasulullah SAW lebih lapar daripada para sahabat baginda ketika itu. 

2 - Ketika para sahabat Rasulullah SAW menggali parit, Rasulullah SAW turun menggali parit bersama mereka. Bukan setakat 'pecah tanah' aja, atau 'pegang cangkul untuk tangkap gambar' aja. Bila para sahabat bertemu batu besar yang tak mampu dipecahkan, Rasulullah SAW membenarkan dirinya dipanggil, dan baginda turun menyahut panggilan para sahabat baginda, kemudian memecahkan batu besar itu. 

 3 - Ketika proses menggali parit berjalan, ada seorang sahabat memberikan tawaran kepada Rasulullah SAW untuk makan di rumahnya. Dia suruh ajak beberapa orang sahaja, sebab makanan di rumah dia pun sedikit. Tetapi Rasulullah SAW mengajak seluruh yang terlibat di dalam penggalian parit Khandaq (sekitar 3000 orang), pergi ke rumah sahabat tersebut, sama-sama merasai makanan yang ada. Tidak baginda fikirkan diri baginda seorang sahaja untuk senang.

Ya, itulah dia Rasulullah SAW kita. Sebab itu para sahabat redha dengan arahan baginda untuk menggali parit saat kekurangan makanan. Sebab itu para sahabat tidak marah dengan baginda. Bahkan, bukan di medan Khandaq itu sahaja. 

Sepanjang kehidupan Rasulullah SAW adalah sedemikian rupa akhlak dan sikapnya. 

Sikap baginda ini diwarisi khalifah-khalifah seleparnya. Abu Bakr RA contohnya, saat mati, tidak meninggalkan apa-apa harta, hingga Umar RA menangis dan berkata bahawa Abu Bakr RA telah meninggalkan contoh yang sukar diteladani pemimpin selepasnya. 

Umar RA pula, pada zaman beliau menjadi khalifah, pernah berlaku zaman kemarau yang teruk, Umar Al-Khattab telah memberikan arahan agar beliau tidak makan makanan yang lebih sedap dari yang boleh didapati oleh rakyatnya. Bahkan Umar RA sendiri sangat tegas menjaga dirinya, membataskan dirinya dari mengambil harta negara. Hingga diriwayatkan bahawa anak beliau, Abdullah Ibn Umar RA terpaksa memberikan Umar RA baju bahagiannya, kerana Umar RA tidak ada baju banyak. Itu pun, ketika itu, Umar RA membiarkan dirinya diaudit rakyat, mengapa dia mempunyai baju lebih, hinggalah Abdullah Ibn Umar RA memberikan penjelasan seperti tadi. Bagaimana pemimpin kita hari ini dalam keadaan situasi kehidupan rakyat menghadapi segala kenaikan hari ini?

 Muhasabah.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

::HALWA TELINGA::

::ILMU::