BEDAH BUKU:CIPTA SYURGA HATI


Bismillahirrahmanirrahim. Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah syukur padaMu ya Allah, kerana atas segala nikmatMu, saya dapat meluangkan sedikit waktu sebelum melelapkan mata untuk mengupdatekan teratak laluan keinsafan agar ilmu ini dapat terus diabadikan di teratak ini sebelum ianya hilang dari kotak pemikiran. Nikmat yang tidak terhingga daripada Allah, alhamdulillah broadband dapat sedikit signal, walaupun agak perlahan tetapi cukuplah bagi saya untuk terus istiqamah berkongsi dengan sahabat pembaca akan sedikit ilmu buat vitamin malam kita bersama sebelum melelapkan mata. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk kita semua dan Allah redha akannya.Aminn.
Sekarang saya dalam tempoh menyudahkan pembacaan buku motivasi Cipta Syurga Hati karangan Dr HM Tuah Iskandar Al-Haj.Buku tulisan pakar motivasi keluaran Alaf 21.Buku yang dibeli sekitar Jun masih belum khatam-khatam lagi kerana berselang-seli dengan bacaan lain. Pada masa yang sama sebaik saya memulakan tugas sebagai pelajar,anak dan sahabat selepas cuti semester,banyak perkara yang terpaksa saya kejar-kejarkan.Namun demikian saya hampir selesai membacanya . Alhamdulillah...

Buku setebal 303 muka surat ini dibahagikan kepada lima topik besar. Dalam setiap topik besar,Dr Tuah mencoret beberapa kisah yang dikaitkan dengan sub topik yang berkaitan. Itulah uniknya tulisan beliau.Dalam topik satu kandungan isi WAHAI DIRI KU YANG LUPA terdiri daripada nasihat-nasihat untuk kita mengkoreksi ataupun dengan kata lain mengislah  diri kita sendiri. Catatan seperti Mencari Syurga Hati, Syurga atau Neraka Hati, Mistik Perosak Hati dan Marilah Mencuci Hati adalah antara kupasan yang mampu mengesankan. Ia memberi beberapa panduan dan ingatan bahawa kebahagian yang terbaik adalah kebahagian dalam beragama. Sihatnya hati dari penyakit-penyakit hati. Telusnya jiwa dalam melalui jalan ke arah cinta Ilahi. Maka pendindingnya pokok pangkal adalah hati.

Dalam bahagian MENCARI DAMAI DI HATI penulis menyingkap rahsia mendapatkan kedamaian hati. Antara perkara yang dikongsi termasuklah bagaimana mengecilkan masalah hidup, mensyurgakan stress yang kita hadapi ,menukar fitnah kepada syurga dan lain-lain lagi. Pada pengamatan saya, bahagian ini memaparkan tentang kebijaksanaan kita mengambil peluang walaupun dilanda perkara berunsur negatif atau keburukan. Ia juga mengajak kita mematangkan fikiran dengan belajar daripada kesilapan lalu untuk memperbaiki hidup. Selain itu bahagian ini menerapkan aspek bagaimana untuk menyucikan diri dengan menyucikan hati. Ya, hatilah pokok pangkalnya. Jika tidak pentingnya hati masakan Nabi SAW sendiri dibasuh dicuci hatinya oleh Jibrail AS.Usah kita pernah terlupa untuk mengingati bahawa disebut-sebut di dalam hadith;

"Sesungguhnya di dalam diri manusia itu terdapat segumpal daging yang mana jika baik daging itu maka baiklah seluruh jasad itu.Jika buruk daging itu maka buruklah jasad itu.Itulah HATI"

Pada bahagian LAUT RASA YANG AMAT DALAM bingkisn cerita benar tentang taubat sangat meresahkan supaya setiap daripada kita menilai kembali jalan hidup yang kita pilih.Sama ada jalan yang mendekatkan diri kepadaNya atau sebaliknya. Seterusnya penulis melakarkan bahawa kesilapan dalam membuat penilaian awal seumpama seorang bapa yang menjangkakan anak yang tidak bijak akan selamanya susah dan sebaliknya. Namun kita jangan pernah terlupa sepintar manapun seorang itu ada yang lebih pintar daripadanya dan selayaknya difahami Allah yang Maha Pintar mengatasi yang lain. Dalam situasi manusia, sepintar manapun seseorang, akan ada satu masa dia tetap perlu mencari seseorang yang tidak pintar untuk menyelesaikan urusan hidupnya. Karangan ini mengajak kita supaya menghargai kebolehan dan kemahiran yang kita atau orang sekeliling kita ada.Akademik adalah penting,namun kemahiran dan kepandaian dalam bidang lain tetap menjadi keperluan dalam melengkapkan kehidupan ini.

Seterusnya bahagian BERIKAN SEBUTIR CINTAMU ITU memaparkan tentang kisah sedih seorang anak yang kehilangan ibu, tentang suami isteri yang terpisah. Namun kisah ini menjemput kita bukan untuk bersedih tetapi mengajak kita merawat hati akibat terpisah. Sebagai contoh seorang ibu yang kehilangan anak sangat mengesankan hati dan seluruh jiwa raganya. Tidak pernah sama dengan orang yang kehilangan suami,orang yang berpisah dengan cinta hatinya. Ruang ini mengajak kita supaya merawat hati dengan menginsafi bahawa tiada makhluk yang kekal di dunia ini. Rawatlah kedukaan itu dengan baik. Buatlah AMALAN untuk RASA TENANG, BESARKANLAH KEMAHUAN UNTUK HIDUP, ELAKKAN JIWA SENSASI, jadilah EJEN PERUBAH BUKAN DIUBAH dan beberapa kisah lagi dalam bahagian ini memberikan aura untuk mencari kembali syurga hati yang hilang.

Akhir bahagian disorotkan USIA YANG TERUS MERANGKAK dengan memberi tips bagaimana KEKALKAN BAHAGIA SELAMANYA,bagaimana untuk jadi KUAT JIWA SIHAT EMOSI, MENJADI IKON KEHIDUPAN, JADIKAN CINTA LALUAN SYURGA HATI serta PERIBADIMU HARUS SEINDAH NAMA adalah penghujung kalam bingkisan CIPTA SYURGA HATI. Kisah-kisah akhir ini mencatatkan bahawa benarlah kita sendiri yang bisa mencorakkan syurga di hati kita.Sesungguhnya benarlah kalamNya dalam Surah Thalaq:2-3:

"Sesiapa yang bertakwa kepada ALLAH,maka sesungguhnya ALLAH akan menyediakan baginya jalan keluar(daripada kesusahan)dan memberikannya rezeki dan jalan-jalan yang tidak disangka olehnya"

Maha Suci Allah,tiada satupun kalamNya dusta.

Terima kasih Dr Tuah yang memberikan kesedaran untuk selalu CIPTA SYURGA HATI. Kepada sahabat pembaca sekalian, dapatkan CIPTA SYURGA HATI supaya kita dapat merasakan apa yang saya rasakan ketika membacanya.Selamat membaca dan beramal. 

Sumber : buku Cipta Syurga Hati hasil karangan Dr. HM Tuah Iskandar Al-Haj.

*masa saya menaip post ini, cuaca sejuk sekali. tetapi nyaman...unggas berbunyi riang menghiasi kesepian malam ...*

2354pm
24/12/2010
kg.relong, k.lipis
Pahang ...

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

::HALWA TELINGA::

::ILMU::