Dia, seorang daei yang paling sibuk,tidak hanya hebat dimata masyarakat,tetapi hebat juga dimata anak sendiri. Berkali-kali anaknya mengulang ayat begini,
"Kami tidak takutkan ayah,tetapi kami malu dan sayang pada ayah".
Ada orang berkata pada saya,buku ini sesuai dibaca kepada lelaki yang mahu berumahtangga. Tetapi tidak mengapa,saya tidak tunggu mahu bernikah esok, baru saya terkial-kial mahu membelinya.Dan kenapa saya merasakan kita perlu membacanya?Sebelum menyemai harapan setinggi gunung mendambakan lelaki yang mencontohi Al-Banna, lebih baik dahulu kita yang bersiap-siap dan bersedia untuk menjadi suri kepada lelaki yang menjejaki sirah Hasan Al-Banna.Insya Allah.
Mengembara dari lembaran ke lembaran, tidak lain yang saya temukan di dalam makalah ini kecuali sebuah didikan yang penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang yang sarat.Menyoroti tarbiah Imam Hasan Al-Banna kepada anak-anaknya,seolah-olah saya menyelami rasa cinta pada Rasullulah terhadap keluarga baginda. Bagaimana indah dan santunnya Rasulullah pada Khadijah,betapa mesranya Rasulullah pada Aisyah dan betapa lemah lembutnya baginda pada Fatimah.
Al-Banna mewariskan pada kita tarbiah yang dipahatkan oleh baginda dalam kehidupan.Hebatnya insan ini membuatkan saya berfikir-fikir dan bermuhasabah sendiri berkali-kali.Masih banyak sangat lompang-lompang yang perlu diperbaiki.
Menegur dengan kebaikan.
Seperkara yang kita selalu terlepas pandang,yang selalu dan biasa kita lakukan pada orang yang melakukan kesilapan ialah,memberi teguran dan cepat-cepat membetulkan kesilapan insan tersebut. Tidak pada Al-banna,didikannya memberikan kesan mendalam walaupun bukan secara langsung.
Pernah suatu hari, anak lelakinya, Saiful Islam mengambil kertas-kertasnya tanpa pengetahuan.Bila disedari,tidak terus dilontarkan kemarahan apatah lagi kata-kata yang kasar.Teliti orangnya dalam menjaga perasaan anaknya.Penuh hikmah dan berkasih sayang dia memberikan teladan. Dia duduk dihadapan Saiful Islam,menyusun semula kertas-kertas miliknya dan memberikan sejumlah kembali kepada anaknya.Tegurannya pendek, tetapi memberi makna mendalam pada anaknya.
"Jika kamu inginkan yang lain,beritahu ayah dan ayah akan berikan kertas yang kamu ingini".
Kalau mahu digali satu persatu hikmah daripada makalah ini,penulisan ini akan menjadi menjela-jela.Cinta Di rumah Hasan Al-Banna bukan sekadar kisah rumah tangga,kisah didikan bapa kepada anaknya,tetapi saya tamsilkan ialah buku ini dapat melantun kembali peribadi kita sendiri untuk dimuhasabah.
Al-Banna,teladan dan hikmahnya bukan hanya untuk golongan lelaki, tetapi perempuan elok sekali membaca buku ini. Cari dan bacalah,percaya,pasti tidak rugi.
Meneladani Imam Al-Banna membawa saya ke satu daerah untuk menyingkap hikmah dalam kehidupan sendiri.Seringkali,saya berfikir,mengapa kadangkala Allah mengangkat hijabNya dan menunjukkan kesilapan ibu bapa sendiri dalam mendidik anak-anak.Ya,saya percaya,tidak ada ibu bapa yang sempurna di dunia ini.
**********************************************************************************
Sehinggalah saya membaca makalah Ustaz Hasrizal yang menjawab soalan seorang pelajar.
"Mengapa saya selalu melihat kesilapan ibu bapa sendiri?".
Satu soalan dilontar,menanti jawapan dengan hikmah.Perlu cermat dan teliti.
"Kamu rasa suatu hari ini kamu akan menjadi ibu bapa tidak?".
"Ya ustaz".
"Kalau begitu,apakah mungkin kamu mahu mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan ibu bapa kamu?".
Provok ustaz pada pelajar tersebut.
"Sudah tentu tidak".
Dan akhirnya saya temui jawapan, tarbiah Allah itu sangat hebat dan berseni.Sebagai hamba,adakala pelajaran daripadaNya tidak secara langsung.Penuh seni dan perlu di angkat hikmah di sebalik ujianNya dengan fikir.
Allah singkap pelajaranNya melalui hikmah dalam teladan.Dia mahu kita tidak mengulangi kesilapan sama apa yang pernah kita hadapi.Kita memang tidak mampu untuk mengibubapakan mereka,tetapi kita boleh belajar untuk menjadi ibu bapa daripada mereka.Belajar untuk tidak masuk ke lubang yang sama dua kali.
Permulaan tarbiah.
"Aku ingin menyampaikan dakwah ini hingga kepada janin di dalam perut ibunya".-Imam Hasan Al-Banna.
Kata-kata Al-Banna melontarkan ingatan saya pada kisah Imam Nawawi.Ketika ditanya kepada ayah beliau bagaimana dia mendidik Imam Nawawi sebegitu hebat.Jawab ayahnya,
"Aku mendidik Imam Nawawi 40 tahun sebelum dia dilahirkan".
Kata-kata ini membuatkan saya hairan,mengapa anak-anak muda hari ini masih berleka-leka dan bermain-main.Adakah mereka masih belum sedar didikan peribadi perlu bermula dari sekarang,bukannya sebulan atau seminggu sebelum saat diijabkabulkan.
Mereka ada penuh dan bersesak di dewan jika topik membincangkan perihal cinta dan kahwin muda.Tetapi mereka tidak pula berlumba-lumba bersiap untuk menghadapinya. Surau dan masjid masih sepi, majlis ilmu masih lengang,dan mereka hidup dalam dunia mereka sendiri.Mereka di hadapan skrin maya,banyak bersembang-sembang,menonton wayang, menonton drama korea dan hindustan.
Mereka,selalu jauh daripada apa yang mereka ingini.Mereka inginkan cinta,tetapi langsung tidak bersiap-siap untuk menerima cinta.Mereka mahu membina masjid awal,tetapi mereka sendiri masih samar-samar matlamat hidup dan masa depan.
Saya diajukan soalan oleh seorang sahabat beberapa hari yang lepas,tentang nikah khitbah.
"Apa pandangan kamu tentang nikah muda".Dia mengajukan soalan pada saya penuh minat.Saya cuma mengulangi kembali jawapan yang diberitahu ustaz.
"Pada saya tidak ada masalah kalau dia sudah bersedia. Asalkan ia tidak mengganggu pelajaran,ada ekonomi yang stabil,ada ilmu dan betul-betul bersedia bukan sahaja sebagai suami barangkali mungkin ayah sekali".
"Bukan ,bagaimana kalau bernikah tetapi tidak duduk sekali?".
Nikah khitbah ada kebarangkalian yang tersendiri.Ada paradigma yang perlu diteliti dan dihalusi.Pendapat saya lontarkan sekadar yang tahu.Dengan umur yang setahun jagung,saya bukan ahlinya untuk menjawab soalan-soalan begini.
"Kenapa,ada merancang ke?".
Saya sekadar memprovok,mencuba menguji emosinya dan melihat reaksinya.Dengan wajah suci polos dia memberitahu saya,
"Mahu,tetapi tiada calon".
"Sudah baca buku Ustaz Hasrizal?".
Saya bukan menetapkan kemestian untuk membaca tulisan murabbi cinta ini,namun saya mengharapkan paradigma tentang dunia cinta dan nikah muda ini tidak dipandang sempit dan semudah yang disangka-sangka.
"Nah,bukunya".
Sungguh,saya mahu mengajak semua, jangan pernah malu untuk membaca sesuatu yang bukan pada masanya. Biarlah kalau ada orang kata kita tidak ada kerja lain mengulit buku-buku begini,tapi yang pasti saya tidak akan mendapat imu begini dalam buku Kimia dan Biologi walaupun saya baca berkali-kali.Kita tidak pernah akan matang dengan silibus pelajaran di dalam kuliah semata.
Yang mahu saya tekankan hanyalah,buka minda seluasnya.Ramai yang menanam cita-cita dan impian nan indah,tetapi ramai yang hanya pandai dan tahu menyemai sahaja.Buktikanlah pada usaha dan tindakan kita. Sahabatku,jangan terkongkong dalam dengan mainan angka usia.
Saya cuma tidak mahu kita rasa garam pahit yang telah ditelan oleh mereka yang terlebih dahulu telah memakannya.
Semoga sama-sama berfikir!
**************************************************************************************












0 comments:
Catat Ulasan